Pegawai keselamatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan tinjauan di tapak kejadian pergerakan tembok penahan (CBP Wall) di projek pembinaan pangsapuri perkhidmatan di Jalan Selangat Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ekoran kejadian tanah mendap yang mengakibatkan sebuah rumah teres di Taman Pertama, Cheras runtuh pagi tadi, kebanyakan penduduk sekitar meluahkan rasa kesal dengan sikap pemaju yang mengabaikan tanggungjawab selepas pelbagai aduan telah dibuat.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, rata-rata penduduk bimbang kejadian tanah runtuh di Ampang dua bulan lalu berulang di kawasan kediaman mereka.

Penduduk, Au Yong Kim Meng bercakap pada media mengenai kejadian pergerakan tembok penahan (CBP Wall) di projek pembinaan pangsapuri perkhidmatan di Jalan Selangat Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 MEI 2022.

Seorang penduduk, Au Yong Kim Meng, 61, menyifatkan pihak pemaju tidak berperikemanusiaan apabila aduan yang dilaporkan penduduk setempat diabaikan sehingga boleh meragut nyawa.

“Selepas raya dua minggu, kita sudah minta hentikan projek, periksa keadaan tanah dulu. Tapi pihak pemaju tak ikut permintaan kita sampailah runtuh pagi tadi baru nak periksa. Kita sudah buat aduan ada pergerakan tanah tapi pihak pemaju tak bagi maklum balas,” dakwanya.

Tambah pesara swasta itu, dia kesal dengan sikap pemaju yang kononnya bertanggungjawab dalam insiden tanah mendap tersebut, walhal bermula dari awal lagi sudah lepas tangan.

“Tadi masa sidang media wakil pemaju cakap mereka sangat bertanggungjawab. Responsible apa macam itu? Mahu tunggu orang mati baru nak tanggungjawab? Mahu jadi seperti runtuhan di Ampang dua bulan lalu baru nak bertindak? Jangan lepas tangan, buat kerja bagi kualiti,” katanya.

Penduduk, Paul Lee bercakap pada media mengenai kejadian pergerakan tembok penahan (CBP Wall) di projek pembinaan pangsapuri perkhidmatan di Jalan Selangat Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 MEI 2022.

Seorang penduduk, Paul Lee, 72, mengakui bunyi dentuman yang kuat ketika kejadian itu menyebabkan dia masih trauma dan tidak dapat tidur sehingga ke hari ini.

“Saya terkejut masa rumah kawasan sini runtuh, saya dengar bunyi kuat dan tengok rupanya rumah jiran sudah runtuh, saya terus lari keluar. Sekarang saya duduk di hotel dan susah nak tidur fikir kejadian itu,” ujarnya.

Penduduk, Theresa Goh bercakap pada media mengenai kejadian pergerakan tembok penahan (CBP Wall) di projek pembinaan pangsapuri perkhidmatan di Jalan Selangat Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 MEI 2022.

Perkara yang sama dikongsikan seorang lagi penduduk, Theresa Goh, 68, yang berlari keluar dari rumah dan mengejutkan jiran-jirannya untuk selamatkan diri memandangkan runtuhan tersebut berlaku sekelip mata.

“Masa kejadian, saya panggil jiran yang lain keluar dan jerit beritahu rumah sebelah sudah runtuh. Masa 2.30 pagi kejadian itu memang saya terkejut. Saya terus naik kereta dan keluar cari hotel,” katanya.

Terdahulu, berlaku kejadian tanah mendap hingga mengakibatkan sebuah rumah teres dua tingkat dalam pengubahsuaian di sini runtuh awal pagi tadi.

Manakala pihak bomba telah mengarahkan enam buah rumah berdekatan kawasan tersebut dikosongkan kerana berada dalam keadaan tidak selamat.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah mangsa yang terlibat masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Rumah runtuh kerana tanah mendap, DBKL arah pemaju henti operasi

 

pemaju-henti-operasi/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast