Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap SDK Jakim 2022 di Bangi Resort Hotel, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2022.

BANGI – Malaysia masih menunggu keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan 5,000 jemaah Malaysia bagi menunaikan haji musim 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sehingga kini pihaknya belum mendapat jawapan lagi daripada negara berkenaan.

“Setakat ni belum ada jawapan lagi. Kita doalah moga Allah permudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad beramah mesra dengan sebahagian Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap SDK Jakim 2022 pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bangi Resort Hotel, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2022.

Pada 16 Mei lalu, Idris dilapor berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan itu semasa menghadiri Persidangan Majlis Komuniti Islam Sedunia di Abu Dhabi awal bulan ini.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus diperuntukkan kepada jemaah luar.

Kuota haji Malaysia bagi musim 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan sama terpakai kepada semua negara. – MalaysiaGazette