Seorang warga Myanmar yang didakwa menculik kanak-kanak ditahan polis di kawasan Pusat Dagangan Batu 3, Jalan Gambang di sini semalam.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang warga Myanmar yang didakwa menculik kanak-kanak ditahan polis di kawasan Pusat Dagangan Batu 3, Jalan Gambang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan berama napkin putih yang digunakan menutup kepala mangsa semasa diculik.

Sebelum itu, suspek cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang bermain di halaman rumahnya dan melarikan mangsa.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang mendengar jeritan isterinya ketika sedang menyiram bunga terus belari mengejar suspek bagi menyelamatkan anak mereka.

Jelas Wan Mohd Zahari, suspek 30 tahun berjaya ditahan di tepi jalan oleh orang awam selepas melihat bapa mangsa mengejarnya.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pukul 9.45 pagi dan sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dari Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi didapati suspek telah diberkas oleh orang awam dan bapa mangsa dan suspek dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Kuantan dan proses reman akan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 atas cubaan melarikan orang dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Justeru Wan Mohd Zahari menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ahli keluarga dan peka terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. – MalaysiaGazette