Majlis menandatangani perjanjian penerbangan cater yang dibuat oleh Muhammad Najmi Mansor (duduk dua dari kiri) dan Syed Saleh Syed Abdul Rahman ((duduk empat dari kiri)) sambil disaksikan oleh Izham Ismail (tiga dari kiri) dan Amrin Awaluddin di Petaling Jaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah memeterai perjanjian penerbangan carter haji selama tiga tahun bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan operasi penerbangan cater haji bagi jemaah dari Malaysia.

Perkhidmataan penerbangan cater ini akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, AMAL by Malaysia Airlines (AMAL).

Majlis menandatangani perjanjian penerbangan cater haji ini telah diadakan di Akademi MAB di Kelana Jaya dan ditandatangani Pengarah Eksekutif Haji, TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman manakala AMAL di wakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Encik Muhammad Najmi Mansor.

Ia disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail.

Amrin berkata, AMAL mempunyai rekod cemerlang juga berpengalaman luas dalam mengendalikan penerbangan sewa khas haji telah menjadi pendorong utama pemilihan MAB sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji bagi tiga tahun akan datang bermula tahun 2022 sehingga tahun 2024.

”Kami yakin komitmen, pengalaman, kepakaran dan kerjasama di semua peringakat mampu memberikan perkhidmatan dan layanan yang cemerlang kepada bakal haji. Mutu perkhidmatan yang diberikan oleh AMAL sebelum ini telah menerima pujian daripada jemaah haji,” tambah beliau.

Sementara itu, Izham berkata, AMAL by Malaysia Airlines kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan lancar bagi memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

Menurutnya, sebanyak 50 peratus jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh AMAL secara berperingkat-peringkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah.

AMAL akan menggunakan pesawat A330-300 dengan kapasiti 284 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan yang selesa dan terbaik diberikan pada para jemaah, ini termasuk perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, laungan azan dan tazkirah, serta pengumuman miqat bagi memastikan pengalaman ziarah yang menyeluruh sebaik sahaja penumpang memasuki
pesawat.

Seramai 14,306 jemmah haji Malaysia bakal menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas melalui penerbangan pertamanya pada 4 Jun 2022. – MalaysiaGazette