Khaled (kanan) menyantuni Onn Hafiz di Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang malam tadi.

PASIR GUDANG – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Pas tidak mempunyai pendirian mengenai Muafakat Nasional (MN).

Parti itu juga disifatkan sentiasa ‘berpusing-pusing’ sekali gus sukar untuk menentukan hala tuju kerjasama tersebut, dakwa Naib Presiden UMNO itu.

Pas, katanya, boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung status MN namun keputusan kerjasama itu akan diputuskan apabila sampai masanya nanti.

“Mengenai MN saya sudah malas nak komen, keadaan (kenyataan) Pas berpusing-pusing jadi saya tidak mahu komen, biarlah dia nak cakap apa kita dengar dan lihat sahaja, sampai masa kita buat keputusan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas kenyataan UMNO bahawa MN kini sudah ‘nyawa-nyawa ikan’ sebaliknya golongan yang menolak dan mahu menguburkan penyatuan itu sebenarnya berada di hujung nyawa.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian bagi menangkis dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat iaitu UMNO menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi MN ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’.

Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannnya berkata, Onn Hafiz perlu memikirkan cara untuk mengurus dan mengekalkan kemenangan BN pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor dengan baik daripada kepimpinan kerajaan negeri terdahulu.

Beliau yakin sebagai Menteri Besar Johor ke-19, pemimpin muda itu mempunyai banyak idea segar untuk diketengahkan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, pihaknya bersyukur kerana pada PRN Johor, UMNO dapat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan kejayaan tersebut diharap jadi pemangkin untuk merampas kerusi Parlimen Pasir Gudang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita lihat senario sekarang nothing is impossible iaitu tiada yang mustahil, siapa sangka kita menang 40 daripada 56 kerusi DUN (pada PRN Johor).

“Saya beri komitmen pada PRU-15 akan bantu 100 peratus untuk kita pastikan kemenangan BN di Pasir Gudang,” katanya.-MalaysiaGazette