Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan berita palsu yang tular kononnya berlaku banjir besar di ibu kota hari ini dengan menggunakan gambar-gambar lama di media sosial.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Anwar Mohd Zain berkata, pihak yang tidak bertanggunjawab perlu berhenti menyebarkan berita palsu dan jangan cuba memburukkan keadaan.

Beliau juga meminta pembaca laman sosial untuk terlebih dahulu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih terutamanya pihak berwajib dan agensi yang boleh dipercayai.

“Hari ini pun tular di media sosial menunjukkan Jalan Travers dinaiki air walhal kita sendiri tahu gambar yang dimuat naik itu gambar lama.

“Jalan Travers hari ini very clear, cantik takda apa-apa pun tapi gambar-gambar pada kejadian 25 April lalu digunakan.. recycle gambar” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Terdahulu, salah satu agensi media turut memuat naik video lama berdurasi 16 saat yang memaparkan kejadian banjir kilat dipercayai berlaku di Wisma UOA di sini hari ini.

Pihak DBKL yang diberitahu mengenai perkara tersebut juga terkejut  dan mendapati tiada laporan yang diterima mengenainya.

Jelas Anwar, kenaikan air hari ini terkawal dan ketika kejadian berlaku, siren amaran bencana milik Jabatan Perairan Selangor berbunyi membuatkan pemilik kereta sempat mengalihkan kenderaan ke tempat selamat.

“Air tak tinggi pun.. di tahap separuh roda kereta. Kenderaan pun sebenarnya masih boleh melalui semua kawasan yang terjejas kecuali Jalan Dutamas 2 yang kita tutup kerana baru pertama kali berlaku dan bimbang akan risiko yang bakal dihadapi pengguna” ujarnya.

Tambahnya, DBKL mengerahkan kakitangannya untuk membuat penyedutan dengan menggunakan lima pam bagi mengeluarkan air sebelum  jalan tersebut sudah boleh digunakan semula kira-kira pukul 2 petang tadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Video tular banjir di KL Sentral tak benar – Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast