KUALA LINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menumpaskan satu sindiket terancang pengedaran syabu ke negara jiran yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Pengarahnya, Kepten Iskandar Ishak berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam Isnin lalu sepasukan lima anggotanya merampas 26 paket kristal disyaki syabu yang ditinggalkan di dalam sebuah beg pakaian di tebing tangga berhampiran Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat, Selangor.

Menurutnya, beg terbabit dipercayai baharu beberapa minit ditinggalkan transporter darat sindiket berkenaan untuk diambil transporter laut sebelum dadah berkenaan diedarkan ke negara jiran.

Lokasi 26 peket kristal disyaki syabu yang ditinggalkan di dalam sebuah beg pakaian di tebing tangga berhampiran Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat, Selangor Isnin lalu

“Rampasan dibuat berdasarkan maklumat risikan dan pengesanan mengenai aktiviti mencurigakan di perairan berkenaan selama dua bulan.

“Pemeriksaan di sekitar lokasi tidak menemui suspek atau bot kerana kita percaya suspek iaitu transporter darat telah melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam beg pakaian menemui 26 paket berwarna kuning berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu dipercayai dipaketkan dalam negara untuk diedarkan ke negara jiran bagi kegunaan 56,000 penagih,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua dadah itu dipercayai baharu beberapa minit ditinggalkan untuk diambil oleh ahli sindiket lain, iaitu transporter laut untuk diseludup ke negara jiran.

Kesemua barang kes telah diserahkan kepada pegawai penyiasat dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM1.04 juta yang boleh dibekalkan kepada kira-kira 56,000 orang penagih.

“Ini adalah rampasan dadah terbesar kami tahun ini melibatkan modus operandi pertama berlaku di Tanjung Sepat oleh sindiket terancang,” katanya.

Iskandar (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 26 peket kristal disyaki syabu dianggarkan bernilai RM1.04 juta yang ditinggalkan ahli sindiket di tebing tangga berhampiran Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat, Selangor Isnin lalu sebelum dirampas Maritim Malaysia.

Menurut Iskandar, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya

Tambah beliau, orang ramai boleh menyalurkan jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam. – MalaysiaGazette