Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai status 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan membuat ketetapan pihaknya tidak mahu mengambil tindakan berbentuk kosmetik  menangani isu beberapa insiden gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya antara April hingga Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan perunding luar serta pembekal atau Original Equipment Manufacturer (OEM) telah diperoleh untuk mencari punca sebenar insiden tersebut berlaku.

“Langkah ini membolehkan mereka menjalankan siasatan menyeluruh dan mendalam punca menyebabkan masalah pada sistem tren termasuk melihat jika ia membabitkan jangka hayat tren dan perkakasan bagi melihat punca sebenar sebelum tindakan betul diambil.

“ Lagi pun, dalam soal ini kita tidak boleh ambil tindakan kosmetik sebaliknya betul-betul melaksanakan forensik apa masalah yang berlaku supaya dapat memulihkan sistem perkhidmatan itu serta tanggapan orang ramai,” katanya pada sidang media Mengenai Status 23 Cadangan penambahbaikan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pasca insiden pelanggaran pada 24 Mei 2021 di sini hari ini.

Tambah Ka Siong, laluan Kelana Jaya kini sedang melalui fasa penambahbaikan melibatkan peruntukan wang berjumlah RM800 juta selepas 24 tahun ‘berkhidmat’ kepada pengguna sejak pembukaannya pada 1998.

Ia membabitkan kerja pengubahsuaian separuh hayat (mid-life refurbishment) membabitkan 28 set keretapi tren siri 818 susulan penurunan prestasi perkhidmatan sejak kebelakangan ini selain beberapa insiden gangguan yang memberi kesan kepada pengguna.

“Pendekatan ini diambil kerana ia adalah proses penting untuk melanjutkan usia tren itu selain memastikan jangka hayat penggunaan lebih lama berikutan ia sudah beroperasi antara 14 hingga 15 tahun.

“Selain itu, kita juga bakal menerima sebanyak 19 tren jenis baharu pada suku keempat 2023 untuk laluan Kelana Jaya.

“Ketika ini laluan Kelana Jaya adalah laluan yang popular dengan 350,000 penumpang sehari dan dijangka bertambah sibuk sementara kehadiran tren baharu ini akan merancakkan lagi perkhidmatan pilihan utama masyarakat lembah Klang nanti,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian telah mengenal pasti empat punca insiden gangguan yang berlaku sejak 2 Mei lalu sehingga semalam membabitkan laluan Kelana Jaya, termasuk pengaktifan brek kecemasan dan kerosakan angkup brek.

Katanya, Prasarana Malaysia Bhd dan Rapid Rail memaklumkan mengenai cabaran yang dihadapi berkaitan gangguan terhadap sistem kendalian pemanduan automatik tren (ATC) khusus pada tren empat gerabak jenis 818 yang menyebabkan brek kecemasan diaktifkan membabitkan sebanyak 38 insiden brek
kecemasan berlaku antara 1 April hingga 5 Mei lalu.

Daripada data yang diperoleh pihaknya mendapati gangguan itu disebabkan oleh beberapa faktor khususnya masalah ‘tachometer’ yang menyumbang kepada 47 peratus daripada jumlah kes, unit elektronik (32 peratus), antena (enam peratus) dan masalah-masalah lain sebanyak (15 peratus) dan Prasarana akan membuat penggantian 140 tachometer membabitkan kos RM5 juta kerana ia komponen penting. – MalaysiaGazette