Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan mengemukakan calon bagi menggantikan tempat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

“Saya akan mengemukakan satu nama baru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri adalah atas kuota Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri Kabinet dan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, keahlian Zuraida dalam parti telah gugur secara automatik setelah menyatakan pendirian untuk bersama PBM.

“Memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu telah gugur serta merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu. 

“Saya mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan beliau kepada Bersatu selama ini,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut mendedahkan bahawa Bersatu sebelum ini ada membincangkan mengenai kedudukan Zuraida dalam parti kerana terdapat dakwaan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan PBM dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti tersebut.

“Susulan itu, satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei 2022 telah dihantar kepada beliau.

“Belau telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei 2022.

“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti,” jelas Muhyiddin.

Bagaimanapun, langkah itu tidak kesampaian apabila Zuraida mengumumkan meletakkan jawatan dalam Kabinet dan juga parti.

Zuraida menjadi Ahli Parlimen ke 40 yang melompat parti setelah berbuat demikian ketika dalam PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020. – MalaysiaGazette