Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya bertindak menangani masalah kuarters kerajaan yang terbiar tanpa diselengara.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, amat malang apabila terdapat banyak kuarters kakitangan dan perniagaan yang terbiar di seluruh negara sehingga menjadi sarang penagihan dadah.

Menurutnya, berdasarkan pengamatan secara rambang didapati hampir semua daerah di seluruh negara mempunyai premis kerajaan terbiar.

“Daripada kuarters pegawai daerah sehingga kuarters guru, terlalu banyak yang menjadi aset rosak dan tidak terurus.

“Pembaziran jelas berlaku apabila media melaporkan kuarters guru di sebuah negeri yang dibina dengan ratusan juta ringgit juga terbiar.

“Kami kecewa dengan situasi yang kini menunjukkan birokrasi menyebabkan aset negara terbiar dan pembaziran berlaku dengan sangat ketara,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan, pembaziran berlaku dengan bajet yang dikeluarkan tetapi projek tidak terurus.

Ujarnya, jutaan ringgit mengalir hanya sekadar untuk menghabiskan bajet tetapi isu kuarters kerajaan tidak diselenggara dengan berkesan.

“Kami berpandangan wang awam perlu diuruskan dengan cekap dan aset seperti kuarters kerajaan perlu diurus secara bertanggungjawab.

“Kami tidak faham kenapa penyelenggaran premis kerajaan sangat lemah. Bukan sedikit aset yang bernilai berbilion ringgit ini tidak diurus….ia menunjukkan antara agensi kerajaan memiliki sikap saling melepas tangan,” katanya.

Tegas beliau, sesuatu aset atau premis kerajaan yang terbiar hendaklah disemak pihak manakah yang bertanggungjawab atas kecuaian dan tindakan perlu diambil bagi memastikan premis tersebut tidak terus terbiar – MalaysiaGazette