Seorang bayi perempuan menemui ajal selepas dilanggar bas sekolah ketika mengekori kakaknya dari rumah dalam kejadian hari ini. Gambar Ihsan IPD Sepang

SEPANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan yang mengekori kakaknya untuk ke sekolah maut dilanggar sebuah bas sekolah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian jam 12.15 tengahari, kakak mangsa tidak menyedari adiknya mengekori beliau keluar dari rumah untuk menaiki bas sekolah yang berada di hadapan rumah mereka.

“Pemandu bas berkenaan kemudian mendapati bas yang dipandunya telah melanggar sesuatu objek sebelum pemandu yang turun dari bas memeriksa mendapati mangsa berada di bawah bas tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian lain di badan akibat kemalangan itu.

“Mangsa telah dikejarkan ke ke Klinik Kesihatan Salak sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.

Menurut Wan Kamarul Azan, pemandu bas sekolah berusia 50 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette