Gambar Hiasan

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pengusaha bas sekolah mengenai cadangan menaikkan harga tambang yang dilihat tidak sesuai dilaksanakan ketika ini demi kebajikan rakyat.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, sebaliknya, cadangan itu mungkin wajar ditangguhkan ketika rakyat sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup termasuk makanan asas.

Menurutnya, beliau juga memahami kebajikan yang perlu dijaga bagi kumpulan pengusaha bas, namun kenaikan kadar tambang sehingga RM25 yang dicadangkan itu diharap dapat ditangguhkan sementara.

“Saya harap, pengusaha bas sekolah ini janganlah terlalu ghairah nak naikkan harga tambang bas sebaliknya bagi peluang satu suasana tenang sebab rakyat waktu ini berdepan kesukaran berpanjangan akibat kenaikan harga keperluan asas.

“Boleh nak naik tambang bas, tapi bukan sekarang, tangguh dulu kenaikan ini. Mungkin minggu depan di bawah portfolio yang berkenaan, saya akan berjumpa dengan pengusaha-pengusaha bas ini untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Kalsom Noordin

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pengkalan Batu di sini, malam tadi.

Kalsom diminta mengulas laporan media ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah di sekitar Lembah Klang mungkin berdepan kenaikan harga tambang bermula Julai ini.

Kenaikan tambang itu dipohon susulan kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan yang dilihat meningkat mendadak antara 50 hingga 80 peratus pada tahun ini yang perlu dihadapi lebih 6,000 pengusaha bas sekolah.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya Dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik dilaporkan berkata, peningkatan harga antara tambang antara RM15 hingga RM25 itu bagaimanapun belum diputuskan namun dibincangkan dalam kalangan ahli dan pengguna.

Mengulas lanjut, Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, kenaikan sehingga RM25 itu juga disifatkan tidak masuk akal dengan alasan kos penyelenggaraan yang meningkat.

“Bayangkan, impikasi nilainya kalau sebuah keluarga ada lima anak bersekolah, sudah naik RM125 sebulan yang besar nilainya bagi mereka.

“Kita kena duduk bincang, jangan terus menekan rakyat yang masih terkejut dengan kenaikan harga makanan asas. ‘Sabau’ (sabar) dulu, bagi masa yang tenang dulu sebelum naik harga,” katanya. – MalaysiaGazette