Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Pekarangan Pintu Gerbang Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemaju yang terlibat dengan projek-projek pembangunan di Kampung Baru, di sini, perlu memikirkan langkah untuk memindahkan pemilik tanah ditempat yang selesa.

Pengerusi Yayasan Bena Nusa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia penting dan perlu difikirkan sementara menanti projek pembangunan yang dirancang siap sepenuhnya.

Katanya, semua pemilik tanah di Kampung Baru sebenarnya berminat agar pembangunan di buat di tempat mereka namun, pada masa sama mereka juga mahu memastikan di mana mereka akan tinggal untuk sementara.

“Jadi, mana-mana pemaju yang datang nak buat (bangunkan) kawasan ini, dia kena mengambil kira macam mana nak selesaikan masalah penduduk-penduduk yang dah berpuluh-puluh tahun tinggal di sini.

“Mana mereka nak tinggal sementara menunggu pembangunan ni habis (siap),” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari raya Aidilfitri 2022 anjuran Perbadanan Kampung Baru (PKB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah persekutuan (MPPWP) Zon Titiwangsa dan Yayasan Bena Nusa, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari menegaskan, ketika beliau menjadi wakil rakyat bagi Parlimen Titiwangsa sebelum ini, menerusi UDA Legasi, beliau memindahkan penduduk yang terlibat dengan projek pembangunan di Kampung Baru menggunakan Akta Pengambilan Tanah.

Disebabkan itu, beliau berkata, isu pemindahan penduduk tidak menjadi masalah kerana ia dapat diselesaikan satu persatu.

Katanya, pemaju tidak boleh menyamakan pembangunan di Kampung Baru dengan setinggan kerana situasinya tidak sama seperti itu.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB), Datuk Lokman Omar sama pendapat dengan Johari berhubung perkara tersebut.

Katanya, ia merupakan perkara penting bagi mengelak penduduk yang terlibat dengan pembangunan berkenaan terabai daripada sudut penempatan sementara.

Ujarnya, ketika ini beliau dimaklumkan bahawa sesetengah pemaju kini sedang berbincang dengan pemilik tanah dan isu yang timbul mampu diselesaikan.

“Mereka (pemaju) memang kena ambil kira itu kerana ia adalah salah satu perkara yang kita suruh buat.

“Mereka kena ambil kira bagaimana mereka nak letak orang-orang (penduduk) ini sementara nak tunggu pembangunan tu nak siap,” ujarnya. – MalaysiaGazette