Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM),Mejar Zulhanis Zainol bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka MAPIM Malaysia sempena sambutan Aidilfitri 2022 di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Bandar Serenia, Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 28 MEI 2022.

SEPANG – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mencadangkan agar satu badan tertentu diberikan kuasa untuk memantau budaya lompat parti berikutan tiada kata putus mengenai Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti setakat ini.

Setiausaha Agungnya, Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol berkata, langkah itu penting kerana ia merupakan aktiviti tidak sihat yang menjejaskan sistem politik di negara ini.

“Rakyat memilih mereka, rakyat bukan pilih atas dasar kita tapi atas dasar perjuangan parti yang kita bawa.

“Bila mengamalkan budaya lompat parti sebegini mereka memberikan satu tanggapan yang tidak baik kepada rakyat.

“Hari ini kita tengok jelas anak-anak muda sudah tidak berminat dengan politik dan ini satu gerakan yang tidak sihat kerana tunjang gerakan kerajaan adalah berlandaskan politik.

“Jadi perkara ini perlu diperhalusi dan kena ada satu badan tertentu yang memantau budaya lompat parti,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Majlis Rumah Terbuka MAPIM, hari ini.

Kira-kira 1,500 pengunjung hadir dalam majlis itu yang dianjurkan di Pusat Gudang MAPIM di Sepang.

Zulhanis diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang bertindak meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Khamis lalu.

Zuraida turut meletak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengulas lanjut, Zulhanis berkata, aktiviti lompat parti yang dipamerkan oleh ahli-ahli politik jelas mempamerkan budaya yang tidak sihat kepada pengundi.

“Isu lompat parti ini bukan baru dan ianya satu budaya yang tidak sihat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, MAPIM berpendapat bahawa kerajaan perlu mengkaji semula pindaan terhadap Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang dibawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini kerana semua budaya dan masyarakat di Malaysia adalah pelbagai dan berbeza antara satu sama lain, ujarnya.

“Perkara ini wajar untuk diperhalusi kerajaan dan kaji semula kadangkala kita rasa perlu kerana bukan semua negara di mana budaya dan masyarakatnya sama seperti WHO pertahanan.

“Jadi ada beberapa perkara yang perlu kita kaji semula dan Malaysia antara negara yang terbuka untuk menerima sebarang kerjasama atau usahasama yang baik,” kata Zulhanis.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebarang pindaan terhadap IHR perlu menghormati prinsip kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan serta proses kedaulatan negara anggota.

Jelas Khairy, tatkala semua negara anggota perlu dipertanggungjawab untuk mendedahkan maklumat penting membabitkan kepentingan kesihatan awam, perlu juga ada pendedahan terhadap hak cipta intelek dan pengetahuan pembuatan vaksin, diagnosis dan terapi. – MalaysiaGazette