Foto: Malaysian Hockey Confederation.

KUALA LUMPUR – Pasukan hoki lelaki kebangsaan berjaya mengikat pasukan Korea Selatan dengan keputusan seri 2-2 dalam saingan pembukaan ‘Super 4’ pada Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Mohamad Ashran Hamsani muncul wira penyelamat buat skuad “Speedy Tigers” apabila menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua, sekali gus menyekat hajat Korea Selatan yang mahu membalas dendam susulan kekalahan tipis 4-5 kepada pasukan negara dalam aksi Kumpulan B, Selasa lepas.

Perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu menyaksikan Malaysia, yang turun selaku juara Kumpulan B, terlebih dahulu di depan menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh tonggak pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, yang juga gol kesembilan peribadi dalam kempen kali ini, pada minit ketiga.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Lee Namyong menjaringkan gol penyamaan buat Korea Selatan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12, sebelum giliran pasukan lawan pula mendahului hasil daripada jaringan padang oleh Jeong Junwoo pada minit ke-21.

Tersentak dengan kedudukan itu, anak buah A Arul Selvaraj yang terus mengasak kubu Korea Selatan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan selepas Mohamad Ashran bijak mencuri peluang kealpaan benteng pertahanan lawan menerusi jaringan padang pada minit ke-40.

Skuad kebangsaan harus menyalahkan diri sendiri apabila mereka kemudian gagal menyudahkan deretan peluang terhidang untuk merobek gawang Korea Selatan bagi mendapatkan  jaringan kemenangan dan kedudukan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Sementara itu, Arul Selvaraj mengakui tidak berpuas hati dengan keputusan seri dilakar pasukannya namun tetap gembira dengan usaha mereka yang berjaya mengelakkan Malaysia daripada tewas dalam perlawanan hari ini.

“Pemain tunjukkan usaha tinggi dalam mengusai permainan dan mengawal bola yang okey bagi saya tetapi saya kecewa kerana kami melakukan kesilapan mudah dengan memberikan pukulan sudut penalti yang memberikan Korea Selatan peluang menyamakan kedudukan 1-1 di peringkat awal permainan.

Malaysia, yang telah layak ke Piala Dunia 2023 selepas berada dalam kelompok “Super 4”, dijadual bertemu India, esok, sebelum melengkapkan aksi dijalankan secara pusingan robin, menentang Jepun pada 31 Mei.

Hanya dua pasukan terbaik dalam saingan “Super 4” akan berentap merebut trofi Piala Asia 2022 pada perlawanan akhir, 1 Jun ini. – Bernama