Datuk Seri Ti Lian Ker merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Malaysia Sports League (MSL) Daerah Bera hari ini.

KUANTAN – Golongan belia khususnya kaum Tionghua diminta tampil melibatkan diri dalam setiap program dan aktiviti anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker mahu lebih ramai penyertaan masyarakat daripada kepelbagaian kaum, agama dan usia bagi meraikan gagasan Keluarga Malaysia.

Penglibatan menyeluruh masyarakat merentasi kepelbagaian kaum, agama dan usia merupakan elemen penting dalam setiap pelaksanaan agenda, dasar, program mahupun aktiviti di bawah KBS.

“Dalam meraikan gagasan Keluarga Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, penglibatan secara aktif oleh semua lapisan belia dari semua kaum adalah sangat diperlukan dan tidak terhad kepada satu-satu kaum sahaja.

“Program-program di bawah KBS seperti penyertaan di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) juga amat memerlukan sambutan belia dari pelbagai kaum selain kaum Melayu.

“Program kerajaan tidak akan berjaya mencapai matlamat sekiranya cuma melibatkan selapis masyarakat tanpa penglibatan keseluruhan Keluarga Malaysia,” katanya  selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Malaysia Sports League (MSL) Daerah Bera hari ini.

Tambah Lian Ker, setiap komuniti ada kekuatan masing-masing dan lebih baik sekiranya kita dapat berganding sebagai satu keluarga.

Jelasnya, ILKBS merupakan contoh platform terbaik untuk belia mengasah kemahiran (upskilling) dan melatih semula (reskilling) dalam tempoh masa yang pendek namun mampu memberi manfaat membina kerjaya.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dengan menghapuskan stigma yang kurang enak berkaitan ILKBS memandangkan kajian menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan ILKBS dalam industri adalah sangat tinggi.

“Ianya sebanyak 95 peratus dan mampu membantu negara menghasilkan lebih ramai belia berkemahiran tinggi pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette