Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh bersama Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Wangsa Maju di Taman Melati, Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Isu kenaikan harga ayam dan beberapa barang keperluan lain bukan perkara baharu malah ia banyak kali disuarakan di Parlimen sebelum krisis makanan itu berlaku.

Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu dan memperkasakan semula Dasar Sekuriti Makanan Negara.

“Perkara ini perkara lama sebenarnya, jadi kita harap segera pihak kerajaan ambil tindakan, selesaikan hal ini. Kita harap kerajaan mengembleng pertanian di negara kita sendiri.

“Jika apa-apa berlaku di luar negara, tidak menjejaskan teruk keselamatan makanan negara kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan hari raya kepada orang ramai yang hadir Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Pas Kawasan Wangsa Maju, di Taman Melati.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk memansuhkan keperluan permit import bagi gandum dan melaksanakan larangan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan mulai Jun sehingga pengeluaran dan harga stabil.

Kerajaan juga telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat Pas Pusat mahu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan terhadap masalah kenaikan harga ayam itu

“Hal ini sebenarnya orang tahu, cuma kita nak penguatkuasaan yang benar-benar mantap untuk kesejahteraan rakyat negara kita.

Food security sebenarnya kita bawa dalam perbahasan Dewan Negara, perkara ini ada dalam kalangan Senator yang sudah pun bawa sebelum keadaan kemuncak sekarang ini.

“Benda ini sudah lama, sudah pun diingatkan, kita harap sangat supaya buat secara jujur dan serius untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette