Pengarah Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman bercakap pada media selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji di Hotel Movenpick, Sepang.

SEPANG – Seramai 84 petugas haji kumpulan kedua Tabung Haji (TH) berlepas ke Tanah Suci, hari ini.

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, kumpulan tersebut terdiri daripada 73 petugas kebajikan dan sembilan petugas perubatan.

Sebelum ini seramai 13 petugas berangkat ke Arab Saudi dan kini berada di Mekah dan Madinah.

Daripada rombongan petugas itu, sektor teknologi maklumat (IT) dan ustaz serta ustazah merupakan antara yang terlibat dalam menyertai rombongan petugas haji ke Tanah Suci.

Menurut beliau, kumpulan yang dihantar ini kebanyakannya akan bertugas di Madinah bagi membuat persiapan menerima kumpulan jemaah haji pertama yang akan sampai pada 4 Jun ini.

Jelas Syed Salleh, semua petugas yang terlibat dalam pengurusan jemaah haji ini telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan dan kemudahan kepada jemaah haji.

Jumlah petugas juga dikurangkan selaras dengan jumlah jemaah haji tahun ini, iaitu seramai 14,306 jemaah, ujarnya.

“Walaupun jumlah jemaah berkurangan berbanding daripada tahun sebelum-sebelum ini sehingga ke hanya 14,306 jemaah, kita kurangkan juga jumlah petugas haji”

“Walau bagaimanapun kita dapati petugas-petugas memberikan komitmen yang cukup tinggi dalam persediaan menyambut jemaah yang akan datang”

“Jumlah petugas sebelum ini hampir 650 orang, pada tahun ini selaras dengan jumlah jemaah yang dikurangkan, hanya 340 petugas sahaja yang dihantar” katanya.

Tambah beliau, walaupun jumlah petugas yang dihantar lebih sedikit, beliau percaya jumlah itu boleh melaksanakan pelbagai tanggungjawab kepada para jemaah haji yang bakal menunaikan ibadat haji itu.

Katanya, baki petugas haji akan berlepas pada 2 Jun dan 5 Jun depan dan terdapat petugas yang bakal mengikuti penerbangan charter bersama jemaah haji lain.

Sementara itu, kata Syed Salleh, terdapat pelbagai situasi baharu yang akan dihadapi berikutan sektor haji tidak beroperasi selama dua tahun.

Jelas Syed Salleh, situasi baharu itu bukan sahaja bagi operasi haji yang dikendalikan TH, malah daripada segi pergerakan dan perundangan serta peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk musim haji kali ini.

“InsyaAllah kita dah pun buat perancangan-perancangan tertentu, jadi kita menyediakan lebih ramai petugas yang berpengalaman dan juga mereka yang boleh bekerja di mana-mana sektor”

“Petugas yang kita bawa ini boleh bekerja di Mekah, Madinah, Jeddah, dan sebagainya”

“Kita mengutamakan mereka yang boleh multitasking, dan fleksibel, yang kita boleh gerakkan (petugas) mengikut keperluan semasa” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji di Hotel Movenpick, Sepang, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette