Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah maut, dipercayai dibunuh dalam pergaduhan di antara ahli sindiket, di sebuah pangsapuri di Jalan Masai Jaya 2, di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di sebuah rumah di aras dua pangsapuri itu, mangsa berusia 23 tahun ditemukan maut di aras bawah bangunan dipercayai selepas jatuh daripada balkoni.

Menurutnya, pergaduhan dipercayai berlaku disebabkan perbalahan berkaitan dadah antara mangsa dan tiga lelaki tempatan, yang juga ahli sindiket yang berusia 20 hingga 30 tahun itu yang membawa kepada kematian.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam yang mengatakan terdapat seorang lelaki (mangsa) jatuh daripada aras dua balkoni dan mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mereka ini rakan sindiket penagihan dan pengedaran dadah dan mungkin salah seorang tidak bayar hutang dadah syabu dan bergaduh,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan unit forensik mendapati terdapat kesan pergelutan serta unsur jenayah, yang menyebabkan mangsa jatuh daripada balkoni itu dan pemeriksaan ke atas badan mangsa turut mempunyai kesan kecederaan dan pendarahan di bahagian belakang kepala.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada mangsa ditolak daripada balkoni terbabit.

Beliau berkata, susulan dari siasatan yang dijalankan juga membawa kepada tangkapan tiga individu yang terlibat dalam pergaduhan itu pada hari kejadian di sekitar kawasan Desa Jaya, di sini.

Menurutnya, semakan rekod ke atas ketiga-tiga individu terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berlainan, seorang pekerja swasta wanita berusia 40 tahun di negeri ini menjadi mangsa ‘Love Scam’ mengalami kerugian hampir RM500,000, akibat diperdaya seorang lelaki di media sosial.

Beliau berkata, wanita terbabit yang masih belum berkahwin itu telah membuat sebanyak 20 transaksi sejak tahun lepas sehingga semalam, kepada lelaki terbabit yang merupakan warga asing, sebelum menyedari ditipu dan tampil membuat laporan polis.

“Saya ingin berpesan terutama mereka yang bersendirian dan rasa kesunyian, kebanyakan Love Scam ini berlaku, apabila mangsa memasukkan duit kepada banyak akaun. Ini taktik scammer, dalam kes ini sahaja lebih 15 akaun berbeza (wanita tersebut membuat transaksi), jadi tolong berhati-hati,” katanya. – Bernama