KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang kekal dua digit pada kadar 11.0 peratus pada April 2022 berbanding 11.6 peratus Mac lau.

Prestasi ini disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat 18.4 peratus berbanding 28.2 peratus yang dicatatkan pada Mac 2022.

Indeks pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan 18.0 peratus (Mac 2022: 24.9%) didorong terutamanya oleh kenaikan dalam indeks penanaman tanaman kekal (23.8%) dan perikanan (7.0%).

Pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat 9.8 peratus berbanding 8.9 peratus dicatatkan pada Mac 2022, disokong oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (23.4%), pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (23.4%) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah
sintetik dalam bentuk primer (13.9%).

Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 0.6 peratus.

Melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, pada April 2022, IHPR pengeluaran tempatan meningkat sederhana 0.2 peratus berbanding 2.4 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Kenaikan sederhana ini disumbangkan oleh indeks pembuatan yang meningkat 1.4 peratus, dipacu oleh kenaikan dalam indeks bagi subsektor pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (3.6%), pembuatan produk petroleum bertapis (2.4%) dan pembuatan komponen & papan elektronik (1.0%).

Bagaimanapun, kenaikan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada April 2022 juga diimbangi dengan penurunan dalam indeks pertanian, perhutanan & perikanan yang merekodkan negatif 2.9 peratus (Mac 2022: 8.6%) disebabkan oleh penurunan pada indeks buah tandan segar kelapa sawit (-4.3%).

Tambahan pula, indeks perlombongan turut mencatatkan penurunan 6.6 peratus pada April 2022 (Mac 2022: 5.0%) dipacu oleh penurunan dalam indeks minyak mentah (-8.6%).

Selain itu, indeks bekalan elektrik & gas dan Bekalan air masing-masing meningkat 0.7 peratus dan 0.2 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast