Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad .

KUALA TERENGGANU – Kemenangan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022 memberi satu harapan kepada generasi muda untuk menerajui parti-parti politik di tanah air.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata keputusan tersebut juga menunjukkan arah tuju Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa memberi peluang kepada generasi muda untuk menonjolkan diri mereka.

“Kita dalam Amanah juga sangat-sangat memberi peluang dan menonjolkan anak muda kita kerana itulah perjuangan jangka masa panjang kita dan memberi inspirasi awal,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Raya Perdana Amanah Negeri Terengganu dan Amanah Kawasan Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Keputusan pengundian Pemilihan PKR 2022 yang dikeluarkan semalam menyaksikan Rafizi mendahului Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden.

Keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 itu menyaksikan Rafizi, yang sebelum ini naib presiden, memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding Saifuddin 48,223 undi.- BERNAMA