Simptom HFMD

KUALA LUMPUR – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) merekodkan peningkatan sebanyak 27 kali ganda kepada 65,535 kes sehingga 28 Mei berbanding 2,333 kes untuk tempoh sama pada tahun 2021 (semasa pandemik Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) 21/2022 adalah 18,602 berbanding ME 20/2022 iaitu 15,548 di seluruh negara, iaitu peningkatan sebanyak 19.6 peratus

“Pada tahun 2022, sehingga 28 Mei, Selangor menyumbang jumlah kes HFMD tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes (28.27%), diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya 8,088 kes (12.34%), Perak 5,810 kes (8.87%), Kelantan 4,905 kes (7.48%), dan Sabah 4,077 kes (6.22%).

“Sebanyak 59,831 kes HFMD (91%) dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah dan 4,593 kes (7%) adalah kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun.

“Survelan enterovirus pula mendapati tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022; iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rajah 1: Tren kes HFMD mengikut ME dari tahun 2019, 2021 sehingga
ME 21/2022.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) yang mana kes pertama dan kedua disebabkan mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71.

Manakala kes ketiga pula dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut, bagaimanapun telah dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei.

“Sehingga kini, sebanyak 1,505 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu WPKL & Putrajaya iaitu 502 wabak (33.4%), diikuti Selangor 172 wabak (11.4%) dan Perak 168 wabak (11.2%).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 913 wabak (61%) diikuti di rumah persendirian dengan 526 wabak (35%) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak (3%),” katanya.

Rajah 2: Kumulatif kes HFMD tahun 2022 mengikut negeri sehingga 28
Mei 2022

Noor Hisham berkata, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Sehingga semalam, sebanyak 1,174 premis taska/ tadika/ tabika/ prasekolah telah ditutup melibatkan 228 premis secara sukarela dan 946 premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Manakala, 715 premis (61%) telah dibuka semula setelah pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati langkah basmi kuman telah diambil dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan yang lain telah dilaksanakan oleh premis tersebut.

Susulan itu, KKM menegaskan kepentingan menjalankan saringan kesihatan kepada kanak-kanak di pintu masuk taska/ tadika/tabika/ pra-sekolah, dan pusat-pusat asuhan dan pembelajaran kanak-kanak bagi mengesan kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit berjangkit termasuk HFMD. -MalaysiaGazette