KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis Cawangan Khas (SB) memfailkan dua saman fitnah, masing-masing terhadap seorang pengarah kanan Bukit Aman dan bekas diplomat kerana menuduhnya membuat tuntutan palsu.

Asisten Superintendan Azwan Jamaldin didakwa mengemukakan beberapa tuntutan palsu berjumlah RM63,704 bagi menyelenggara dan membaiki kenderaan pegawai perhubungan polis Malaysia di Pontianak, Indonesia.

Azwan menamakan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din serta bekas konsul Malaysia ke Pontianak, Mohiuddin Ghazali sebagai defendan dalam saman itu yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, minggu lalu.

Azwan dalam writ saman itu mendakwa Mohiuddin secara palsu dan berniat jahat menulis dan menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah mengenainya menerusi e-mel antara 23 Disember 2020 dan 8 Mac 2021.

Mohiuddin turut didakwa menulis e-mel kepada seorang pegawai Wisma Putra pada Ogos 2021 untuk menggesa pasukan petugas menyiasat tuntutan perbelanjaan yang dibuat oleh Azwan.

Pasukan petugas itu kemudian mengesahkan Azwan memalsukan tuntutan berkenaan.

Azwan juga mendakwa Ramli telah menulis surat yang didakwa berunsur fitnah pada 23 Mac 2021 berdasarkan dakwaan Mohiuddin dan menghantarnya kepada beberapa pegawai tinggi polis.

Pegawai tinggi yang dimaksudkan itu termasuk bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan; Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Cheong Koon Kock; Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas, Senior Asisten Komisioner Aida Abdul Hamid dan Ketua Polis Negara ketika itu serta kerajaan.

Azwan yang menuntut ganti rugi daripada defendan mendakwa reputasinya sebagai anggota polis kini tercemar teruk dan beliau tidak dinaikkan pangkat disebabkan tuduhan fitnah itu.

Peguambela yang mewakili Azwan, M.Manoharan juga mengesahkan beliau memfailkan saman itu bagi pihak anak guamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu.

Katanya, semasa pengurusan kes, mahkamah meminta Ramli memfailkan pembelaannya sebelum 15 Jun ini, manakala pengurusan kes membabitkan Mohiuddin ditetapkan pada 3 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast