Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang jurutera perisian yang mengaku mempunyai masalah fetisy dihukum penjara tujuh hari dan denda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menceroboh tandas wanita serta memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya.

Majistret Nadia Othman turut memerintahkan Lai Wah Onn, 26, yang mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, beliau ingin tahu mengapa tertuduh berada di tandas perempuan dan lelaki itu menjawab: “Tengok kasut perempuan, lepas itu rakam muka dari atas.”

Nadia: Kamu nak buat apa?

Lai, yang dilihat tenang sepanjang prosiding menjawab: Saya ada masalah fetisy.

Nadia kemudian memberi amaran keras kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan itu kerana ia adalah kesalahan yang serius.

Lai dipenjara tujuh hari dan didenda RM800 bagi kesalahan menceroboh tandas wanita di Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail di sini pada 6.15 petang 30 Mei lepas mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua, Lai dipenjara tujuh hari dan didenda RM2,000 kerana menyimpan video lucah pada tarikh dan di lokasi sama mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula hari ini.

Terdahulu, Lai yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana ia adalah kesalahan pertamanya selain ingin mendapatkan rawatan psikiatri.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast