KOTA BHARU – Seramai 39 usahawan hebat yang mampu meneruskan kelangsungan perniagaan meskipun berdepan pandemik Covid-19 diraikan dalam majlis Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan.
Pengerusi Kelantan Business Entrepreneurship Award 2022 (KBEA 2022), Shahir Adnan berkata, Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada perniagaan tempatan dan ramai usahawan yang masih lagi mengambil masa untuk memulihkan keadaan perniagaan mereka.
“Walaupu diuji dengan musibah termasuk terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan penutupan perniagaan akibat Covid-19 selama hampir dua tahun, ramai juga yang berjaya menyelamatkan perniagaan mereka.
“Berbekalkan kekuatan, usaha dan kebijaksanaan menguruskan perniagaan, pihak KBEA 2022 bersetuju untuk menganugerahkan Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan kepada anak Kelantan yang berjaya dalam dunia perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini malam tadi.
Majlis tersebut telah disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Shahir berkata, KBEA menerima sebanyak 100 pencalonan, namun, berdasarkan penilaian yang dibuat jawatankuasa itu seramai 39 orang layak menerima anugerah berprestif itu.
Bertemakan ‘ayuh, kami raikan kehebatan anda’ atau ‘Let’s celebrate your excellence’, KBEA membuktikan sektor perniagaan dan keusahawanan anak Kelantan kekal berdaaya saing. – MalaysiaGazette