Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan dasar Pengerusi BN petang ini

KUALA LUMPUR – Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini, melakar sejarah apabila selama 48 tahun menempuh seribu satu ujian dan cabaran sejak gabungan empat parti utama rakyat Malaysia itu termeterai tahun 1973.

Konvensyen atau perhimpunan bertemakan ‘Kesetiaan dan Kestabilan’ itu akan berlangsung dalam dua sesi bermula jam 8 pagi ini.

Sesi pertama di sebelah pagi diadakan Konvesyen BN dengan tema ‘BN Melakar Masa Hadapan’ yang dirasmikan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sesi kedua pula pada sebelah petang iaitu kemuncak sambutan ulang tahun yang akan dimulakan dengan acara menaikkan bendera BN.

Sesi ini akan dihadiri pimpinan utama iaitu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden UMNO serta Presiden parti komponen.

Menurut Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Selepas itu, katanya, majlis diteruskan dengan ucapan pembukaan Konvensyen BN, ucapan negawaran dan sesi penerangan mengenai Masa Depan BN – Merangka Masa Hadapan.

Bagi sesi petang pula, diadakan acara menaikkan bendera BN dan sekali lagi ucapan Dr. Zambry selaku Setiausaha Agung BN.

“Selepas itu, tiga Presiden komponen BN dari MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan menyampaikan ucapan aluan masing-masing dengan diikuti ucapan Perdana Menteri dan Ucapan Dasar Presiden BN.

“Di akhir konvensyen, para pemimpin dan ahli membaca Deklarasi BN 2022,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim menyifatkan Konvensyen BN hari ini satu langkah terbaik dalam usaha memastikan ikatan yang terbina sejak sekian lama diperkukuhkan.

Kata beliau, sejak BN mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, parti terus mengorak langkah bersama rakan sedia ada iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS serta diperkukuhkan lagi sokongan Friends of BN dalam berdepan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Sabah, Melaka serta Johor.

Justeru, beliau berpandangan dengan adanya konvensyen satu hari ini, sudah pasti pelbagai idea dan input dapat dilontarkan oleh parti-parti yang berada di bawah naungan BN.

“Walaupun singkat, tentunya ikatan sedia ada dapat dipereratkan bukan sahaja dengan lontaran pandangan masing-masing, malah akan turut melangkaui segala gerak kerja di pelbagai peringkat untuk parti berdepan PRU akan datang.

“Kerjasama serta muafakat dalam BN perlu diperkukuhkan kerana dalam PRU ianya memerlukan gandingan kerjasama yang erat bagi melicinkan lagi pelaksanaan kelak.

“Setelah sekian lama konvensyen seumpama ini tidak diadakan, inilah masa yang terbaik untuk setiap parti melontarkan pandangan masing-masing kerana tujuan konvensyen ini adalah untuk mengukuhkan parti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast