Pemandu bas sekolah dibebaskan dengan jaminan polis sementara polis akan mengambil keterangan ahli keluarga simati kelak dalam siasatan kejadian seorang kanak-kanak berusia setahun 4 bulan mati dilanggar bas sekolah di taman perumahan di Bandar Baru Salak Tinggi Sepang pada 27 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang Pemandu bas sekolah yang ditahan dan disiasat dalam insiden seorang bayi perempuan yang maut dilanggar bas sekolah di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada Jumaat lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, individu berkenaan yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 50 tahun telah dibebaskan pada Sabtu lepas.

“Selepas kita reman pemandu itu selama sehari untuk membantu siasatan polis, dia telah dibebaskan dengan jaminan polis sehari kemudian setelah selesai dirakam keterangannya.

“Sekarang, polis sedang menunggu laporan berkaitan kemalangan itu iaitu laporan bedah siasat kanak-kanak itu dan laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terhadap bas sekolah tersebut,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak perempuan maut dilanggar bas sekolah

Dalam perkembangan sama, tambah beliau, polis juga akan meneruskan proses merakam percakapan daripada ahli keluarga mangsa melibatkan waris dan kakak si mati berusia 13 tahun itu.

Menurutnya, buat masa ini proses rakam keterangan tidak dapat dilaksanakan memandangkan ahli keluarga mangsa sedang menjalani proses kuarantin di rumah mereka akibat Covid-19.

“Kita akan tunggu sehingga ahli keluarga simati tamat tempoh kuarantin Covid-19 dan kemudian barulah akan mengambil keterangan daripada mereka nanti.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan oleh polis dalam kes berkenaan dan kertas siasatan apabila dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” ujarnya lagi.

Pada Khamis minggu lalu, seorang bayi perempuan maut dilanggar bas sekolah dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi di sini.

Semasa kejadian, mangsa dipercayai telah mengekori di belakang kakaknya tanpa pengetahuannya semasa hendak ke perhentian bas untuk menaiki bas sekolah.-MalaysiaGazette