penjara
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Polis menahan seorang pengawal keselamatan kerana menyamar sebagai pegawai tentera selepas menyerbu sebuah rumah di Rumah Rakyat Sungai Layang, Rembau, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin pada kira-kira pukul 5.50 petang.

“Dalam serbuan itu, polis merampas baju seragam lengkap tentera dengan aksesori termasuk pistol tiruan berserta sarung dan satu beg berlogo polis mengandungi gari. Siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku terlibat dalam kes menyamar pegawai tentera kira-kira empat tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan dibuat berikutan satu kes pada 8 Disember 2018 di Kem Batalion Kedua, Rejimen 508, Askar Wataniah, Kem Tampin, berkaitan kejadian seorang lelaki yang lengkap berpakaian seragam menyamar sebagai anggota pasukan Gerak Khas berpangkat Kolonel.

Katanya, dalam kes itu suspek dikesan masuk ke kawasan kem berkenaan atas urusan ingin berjumpa dengan Kompeni Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Memerintah, namun apabila diminta kad identiti tentera, lelaki itu gagal menunjukkannya.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – Bernama