Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula sistem percukaian barang dan perkhidmatan (GST).

Menurut kenyataan bersama Majlis Presiden PH, dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi ketika ini, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak dan jika ditambah lagi dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), DSP Madius Tangau.

Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri berkata, sistem cukai itu dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.

Menurut kenyataan itu, pada ketika persepsi tata kelola serta urus tadbir kerajaan belum pulih akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Malaysia berada pada kedudukan ke-62 indeks persepsi rasuah, Transparency International, serta kedudukan kedua dalam indeks kapitalisme kroni The Economist, adalah tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urus tadbir kerajaan telah berjaya dilaksana.

Tambahnya, tiada gunanya mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.

“Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihan raya yang lalu.

“Oleh itu, Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat,” tegas Majlis Presiden PH lagi. – MalaysiaGazette