Polis akan melakukan beberapa lagi tangkapan dan sedang memburu penari separuh bogel pondan untuk membantu siasatan lanjut kes aktiviti kurang bermoral di majlis Aidilfitri di I City Shah Alam pada 27 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Polis akan melakukan beberapa tangkapan membabitkan insiden tarian pondan separuh bogel dianjurkan di Majlis Sambutan Hari Raya 2022 di Centrewalk I-City, Shah Alam dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sejurus selepas kejadian itu, penganjur yang menempah penari berkenaan telah direman untuk dirakam keterangan dan kini sudah dibebaskan.

“Proses merakam keterangan belum selesai lagi memandangkan kita akan melakukan beberapa tangkapan secara berperingkat selepas ini.

“Ini kerana ada dalam kalangan mereka ada yang berada di luar kawasan termasuk penari,” katanya ketika ditemui di pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Instafamous disyaki anjur tarian separuh bogel pondan ditahan polis

Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass dan juga Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam.

Dalam perkembangan berkaitan, Arjunaidi berkata, pihaknya akan merakam keterangan daripada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran serta aktiviti tarian tidak bermoral itu.

“Kita kemudian akan mengumpul segala keterangan yang direkodkan dan akan melengkapkan kertas siasatan yang akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut,” tegasnya.

Semalam dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penganjur majlis berkenaan yang dikenali sebagai Instafamous bernama Cik Lala telah dijejaki dan ditahan polis.

Suspek berusia 27 tahun itu telah ditahan pada Ahad lalu sebelum direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan kes.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek yang juga seorang pengusaha kosmetik telah menyewa unit berkenaan dengan kos RM4,000 dengan jemputan kira-kira 50 orang kenalan rapatnya bagi majlis hari raya..

“Pengadu dalam laporan polis itu mendakwa penganjuran aktiviti kurang menyenangkan mata memandang itu boleh menjatuhkan imej I-City sebagai salah satu tarikan pelancong di Selangor.

“Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada 27 Mei lalu sekitar pukul 8 hingga 11.30 malam di Dewan Unit B-Ug-12 Upper Grand Floor Centralwalk I-City yang mana sekumpulan lelaki pondan membuat tarian separuh bogel diikuti dengan muzik yang kuat serta pembakaran bunga api di kawasan awam. – MalaysiaGazette