Pasangan suami isteri mengaku bersalah memukul dan mengabaikan anak sulung mereka.

MELAKA – Sepasang suami isteri didenda RM14,000o leh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas atas dua pertuduhan memukul dan mengabaikan anak sulung mereka tahun lalu.

Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Saufi Md Paiman dan Nor Azlina Ab Aziz masing-masing berusia 39 tahun yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, pasangan itu secara bersama-sama didapati telah mendedahkan mangsa yang merupakan anak kandungnya berusia 14 tahun ketika kejadian sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah Taman Bukit Rambai pada 16 dan 19 April 2021.

Kesemua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu disedari guru sekolah mangsa apabila remaja perempuan Tingkatan 2 itu dipanggil guru berkenaan sebelum mangsa menceritakan telah dipukul ayahnya pada 19 April 2021.

Siasatan pihak polis kemudian turut merampas senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa iaitu sebatang penyapu, segulung tali pinggang dan pemukul lalat.

Rawatan di hospital juga mendapati pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh anggota badan mangsa.

Terdahulu kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Fozi Md Zain merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh melakukan perbuatan disebabkan tekanan hidup, selain anak mereka dituduh mencuri duit ibu mentuanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, selain turut mencadangkan hukuman tambahan menyempurnakan satu bon dan penjamin dengan apa-apa tempoh dan sebarang syarat mahkamah melalui khidmat masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan setiap tertuduh dikenakan denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Hakim turut memerintahkan pasangan suami isteri itu dikenakan bon jaminan RM2,000 dan seorang penjamin tanpa cagaran dengan syarat tambahan tidak boleh melakukan sebarang pengabaian di bawah jagaan mereka. – MalaysiaGazette