Pemain Malaysia, Arif Aiman cuba melepasi dua pemain Hong Kong, Huang Yang (kanan) dan Wong Tsz Ho (kiri) pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya boleh pergi lebih jauh sekiranya pemain beraksi sebagai satu pasukan, berdisiplin dan fokus secara konsisten dalam setiap perlawanan.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, walaupun tidak dapat memuaskan hati semua penyokong namun beliau yakin mereka akan diterima secara berperingkat.

“Saya rasa pemain kita telah beraksi secara berpasukan dan harmoni selan penuh disiplin, tempo dan intensiti tinggi serta fokus dalam perlawanan, inilah saya sedang terapkan terhadap mereka.

“Jika mereka dapat mengekalkan semua elemen ini secara konsisten, ia boleh membawa mereka lebih jauh dalam bola sepak,” katanya.

Pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong yang berkesudahan Malaysia menang 2-0 malam tadi, banyak peluang disia-siakan pemain negara.

Pemain Malaysia, Mohammad Syamer Kutty Abba melepaskan tendangan ke pintu gol pihak lawan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2022.

Pada perlawanan itu, gol disumbangkan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-31 dan pemain gantian, Safiq Rahim (90+3).

Ia merupakan kemenangan kedua skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan antarabangsa selepas menjinakkan Brunei 4-0 pada Jumaat lepas.

Pan Gon yang gembira dengan aksi pemainnya walaupun gol diperoleh dengan sepakan penal dan sepakan percuma bagaimanapun tidak mahu menilai pemainnya, sebaliknya mahu melihat pemainnya mengurangkan kesilapan.

Malah katanya, pemain juga perlu mengawal emosi dan tidak bertindak di luar kawalan semasa berada atas padang seperti yang dilakukan Mohamadou Sumareh yang dilihat bertindak ke atas pemain lawan selepas beliau dikasari. – MalaysiaGazette