Foto Instagram Jasmin Hamid.

KUALA LUMPUR – Dramatis popular, Jasmin Hamid terpaksa di masukkan ke unit penjagaan kritikal (CCU) di sebuah hospital akibat serangan jantung kelmarin.

Berita itu disahkan sendiri oleh suami yang juga merangkap pengurusnya, Nazmir Abd. Rahi menerusi hantaran di Instagram milik aktres itu semalam.

“Assalamualaikum semua. Saya suami kepada Jasmin mahu berkongsi keadaan terkini isteri saya. Sekarang dia berada di wad CCU, bukan ICU (unit jagaan rapi) kerana serangan jantung buat pertama kali semalam.

“Kepada yang sayangkan Jasmin, mohon panjatkan doa untuk Allah SWT panjangkan usianya dan diberikan kesembuhan seperti sediakala secepat mungkin. Terima kasih,” ujarnya.

Menurut Nazmir, keluarga kepada isterinya itu sememangnya mempunyai sejarah masalah serangan jantung.

Jelasnya, kini doktor telah memberikan bantuan ubat kepada pelakon berkenaan bagi membantu melancarkan pengaliran darah ke jantung.

“Keluarganya mempunyai sejarah serangan jantung. Tekanan darah dan degupan jantungnya juga agak rendah,” ujarnya. – MalaysiaGazette