Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Kawasan Arau menyokong penuh pendirian UMNO Bahagian Padang Besar untuk meneruskan Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Ketuanya, Amrul Amri Chan berkata, kenyataan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin itu senada dengan Pas Perlis yang sentiasa komited mempertahankan MN bersama UMNO.

“Kenyataan pemimpin UMNO itu senada dan selari dengan hasrat Pas Perlis, walaupun ianya bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Perlis yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang mendakwa UMNO dan BN Perlis bersedia bergerak tanpa Pas dalam PRU-15 nanti.

“Kerjasama ini selaras dengan perintah Allah supaya mewujudkan penyatuan dan mengelakkan perpecahan.

“Dengan wujudnya penyatuan umat Islam yang jitu, naratif Islam dan Melayu dapat dikembangkan tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Zahidi Zainul dilaporkan berkata, UMNO Bahagian Padang Besar tidak bersetuju usaha bergerak solo dalam PRU-15 di negeri itu, sebaliknya akan terus menjalin hubungan baik dengan Pas menerusi MN.

Pendirian UMNO bahagian itu sekali gus dilihat tidak selari dengan kenyataan Azlan sebelum ini bahawa parti itu bakal bergerak bersendirian tanpa Pas dalam menghadapi PRU-15 di Perlis.

Zahidi Zainul berkata, jika UMNO Bahagian Kangar yang diketuai Azlan mahu bergerak solo, itu terpulang kepada beliau.

Menurut Amrul Amri lagi, kesepakatan yang dinyatakan UMNO bahagian itu adalah paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Beliau mengharapkan, hubungan MN bersama UMNO di Malaysia khususnya di Perlis akan terus terjalin erat pada PRU-15 nanti demi kekuatan agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette