KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila beliau mengalami serangan jantung ketika memandu menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kilometer 24.9 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Menurut satu kenyataan, siasat awal dalam kejadian 3.05 pagi itu mendapati kereta dari arah Klang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu terbalik selepas melanggar pembahagi jalan yang ada di tengah haluan.

“Pemandu lelaki berumur 41 tahun itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang motorkar terselamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujar kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222. – MalaysiaGazette