Azam Baki MACC Covid-19 management corruption Adham Baba
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

PUTRAJAYA — Sebanyak 25 kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan sektor perkhidmatan kesihatan berhubung dakwaan pembabitan rasuah sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu meliputi pelbagai kesalahan termasuk pengurusan Covid-19.

Justeru SPRM akan memanggil beberapa individu tertentu dalam tempoh terdekat termasuk individu bertaraf menteri.

Tambah Azam pihaknya juga sedang menilai agensi yang berkaitan dengan pengurusan Covid-19, katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM di sini hari ini.

“Setakat yang kita (SPRM) terima laporan daripada pelbagai pihak, kita membuka 25 kertas siasatan. Saya tidak akan menamakan mana-mana agensi lagi tetapi ianya berkaitan dengan pengurusan Covid-19 ketika pandemik berlaku.

“Siasatan yang dibuka adalah berkaitan pengurusan Covid-19 dan pelbagai aspek lain akan kita maklumkan. Kita akan memanggil ramai sebab setiap satu kes adalah berbeza, berkaitan pengurusan Covid-19” ujarnya.

Sebelum itu dalam satu laporan media, Azam mendedahkan pihaknya menjalankan siasatan kegiatan itu antaranya membabitkan salah guna kuasa dalam agihan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi.

Siasatan meliputi penipuan membabitkan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan (topeng muka, sarung tangan dan lain-lain) daripada segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah.

Ini termasuk menyiasat aktiviti rasuah membabitkan pegawai penguat kuasa  ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan melihat keperluan untuk memanggil bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi membantu perjalanan siasatan.- MalaysiaGazette