Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan membabitkan projek pembinaan infrastuktur pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) yang didakwa terdapat unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung kes tersebut sejak Mac lalu, sebelum laporan mengenai pihak berkuasa Perancis menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek pengangkutan awam tempatan bernilai RM692 juta beberapa tahun lalu.

“Daripada siasatan berkenaan, kita membuka dua kertas siasatan.

“Siasatan kes berkenaan telah dibuka sebelum keluarnya laporan mengenai pihak berkuasa Perancis menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek MRT bernilai RM692 juta yang berlaku beberapa tahun lalu.

“Skop siasatan itu berkenaan isu rasuah yang sudah selesai dibayar kepada pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM, di sini, hari ini.

Pada Selasa lalu, media melaporkan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk siasatan berhubung dakwaan terdapat elemen berkait rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membabitkan MRT. – MalaysiaGazette