Datuk Dr Muhamad Iqbal

KUALA LUMPUR – Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Itu merupakan peribahasa yang menjadi pegangan hidup, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad dalam meniti perjalanan membuka perniagaan syarikat pemegang pelaburan, aktiviti perundingan dan khidmat nasihat korporat.

Pemilik Qew Group Berhad (QGB) itu ketika berkongsi pengalamannya memberitahu, istilah tidak mudah putus asa juga merupakan salah satu daripada neraca yang sering digunakan oleh beliau jika mahu berjaya dalam apa yang diusahakan.

Bercita-cita untuk mengembangkan perniagaannya hingga ke peringkat antarabangsa, Muhamad Iqbal berharap agar impiannya tercapai.

QGB mempunyai kepakaran dalam membangunkan sesebuah syarikat dan mampu membentuk hubungan jangka panjang dengan pelanggannya sama ada dalam perkara yang melibatkan pembiayaan, nasihat ataupun sokongan korporat.

“Alhamdulillah, sejak 2017, kami telahpun berjaya mendapat lebih daripada lima anugerah di mana dua daripadanya di peringkat global dan empat lagi di peringkat domestik,” katanya kepada MalaysiaGazette pada malam Anugerah Kelantan Business Entrepreneurship Award 2022 (KBEA 2022), di Kota Bharu, kelmarin.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Muhamad Iqbal berkata, pada awal penglibatannya beliau pernah membuat kerja sambilan dalam bidang keusahawanan dengan sebuah universiti awam.

Katanya, minatnya dalam bidang keusahawanan semakin mendalam dan semangat jati diri yang kuat untuk terus berjaya dalam bidang tersebut tersemat dihati.

Beliau tidak pernah putus asa dan sentiasa berani dalam membuat keputusan meskipun tahu akan risiko yang mungkin dihadapi.

Ujarnya, terdapat juga dalam kalangan usahawan menjadikan buku sebagai garis panduan tetapi tidak berani untuk turun sendiri merasai pahit manis dan jatuh bangun dalam perniagaan.

“Walau apa pun yang terjadi jangan putus asa…kena kuatkan jati diri serta optimis dan positif dan ingat apa yang kita dapat tu kita kongsi dengan ramai. Kejayaan ini adalah kejayaan bersama, jangan hanya fikir untuk individu (diri sendiri),” tambahnya.

Muhamad Iqbal berkata, kini beliau boleh berbangga dengan jenama syarikatnya apabila telah diiktiraf sebagai sebuah konglomerat.

QGB juga telah melancarkan Program Perkongsian Strategik Korporat (CSP) yang bertujuan menambah nilai terhadap mana-mana perniagaan melalui perkongsian dengan menyediakan maklumat, perkhidmatan suntikan modal dan sumber lain yang mungkin terhad kepada sesetengah perniagaan atau hanya boleh diakses melalui pertukaran kewangan.

Program CSP di bawah QGB menyasarkan projek-projek dengan pulangan yang lumayan melibatkan sub-kategori seperti Growth (Organic Expansion), Joint Venture, Equity Strategy Alliance serta Non Equity Strategy Alliance sebagai pemangkin daya saing yang tinggi kepada pendapatan syarikat.

Terdahulu, pada malam anugerah berkenaan seramai 39 usahawan diraikan kerana telah berjaya menempuh liku meskipun berdepan pandemik Covid-19.

Bertemakan ‘ayuh, kami raikan kehebatan anda’ atau ‘Let’s celebrate your excellence’, KBEA membuktikan sektor perniagaan dan keusahawanan anak Kelantan kekal berdaya saing.

Antara yang turut menerima anugerah iaitu ada;ah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UZMA Berhad Uzma Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed; Pengasas Moksumall Sdn Bhd, Norshaznina Ibrahim; Pengasas Adik Manis Empire,
Intan Shamiera Abdul Karim; Pengasas Bukit Buloh Bricks (M) Sdn Bhd, Nurul Fatihah Fauzi dan pemilik Pink Mop Trade, Eadzelin Azmi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UZMA Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamad pula berkata, menerusi penganugerahan itu ia mampu memberi inspirasi kepada para usahawan untuk terus berjuang dan mengembagkan perniagaan selepas melalui masa yang sukar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UZMA Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamad

“Cabaran yang dilalui pada musim Covid-19 itu tidak sepatutnya memberi kesan yang terlalu lama.

“Jadi, harapan saya dengan program sebegini akan dapat memberi inspirasi kepada semua peniaga-peniaga,” katanya yang terlibat dalam industri minyak dan gas.

Bagi Pengasas Moksumall Sdn Bhd, Norshaznina Ibrahim pula, dia mahu membuktikan bahawa wanita Kelantan mampu bersaing dan menonjolkan diri dalam bidang keusahawan.

Katanya, suri-suri rumah juga boleh berjaya dalam bidang tersebut dan semua itu adalah bergantung kepada kemahuan masing-masing.

“Sama-sama berjaya buktikan bukan saja kita yang berjaya tapi team kita dahulukan untuk mereka berjaya bersama kita.

Pengasas Adik Manis Empire, Intan Shamiera Abdul Karim pula berkata, dia juga mahu membuktikan bahawa mereka yang berniaga di tepi jalan boleh berjaya dan menjadi usahawan yang hebat.

Ujarnya, apa yang penting adalah kesungguhan dan dengan kesungguhan itu ia pasti akan menghasilkan kejayaan.

“kita nak buktikan dengan diorang, kita jual kat tepi jalan berniaga ni boleh jadi hebat lagi dari mereka.

Pengasas Adik Manis Empire, Intan Shamiera Abdul Karim

“Yang penting niat kita betul sebab apa kita boleh berjaya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengasas Bukit Buloh Bricks (M) Sdn Bhd, Nurul Fatihah Fauzi memberitahu, anugerah yang diterima merupakan satu pencapain besar dalam bidang yang diceburi.

Jelasnya, ia boleh menjadi pembakar semangat bagi mempastikan dirinya boleh memberi lebih prestasi kepada syarikat.

“Apa yang boleh saya katakan ini adalah satu pencapaian yang terbesar buat syarikat kami…syukur kepada Allah kerana rezeki ini

Pengasas Bukit Buloh Bricks (M) Sdn Bhd, Nurul Fatihah Fauzi

“…dan ini boleh dijadikan sebagai pembakar semangat kepada diri saya untuk saya terus memberi performance yang lebih baik kepada syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette