Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat, Suzana Zakaria (kiri) dan Pegawai Pemantau Operasi DCI, Tengku Khairil Azwan Tengku Abdul Samad (tengah) menyampaikan cenderahati kepada pengunjung Rumah Terbuka DatumCorp, semalam.

KUALA LUMPUR – Sambutan hari raya DatumCorp International Sdn. Bhd. (DCI) semalam tampil lebih menarik apabila membawa konsep suasana raya era 60 hingga 80-an yang penuh dengan nostalgia.

Pegawai Pemantau Operasi DCI, Tengku Khairil Azwan Tengku Abdul Samad berkata, acara tahunan itu bertujuan untuk meraikan semua pihak yang telah banyak memberi sokongan kepada pihaknya.

“Sambutan ini juga sesuai menjadi satu platform untuk mengukuhkan jalinan rangkaian perniagaan serta menghargai sokongan yang diterima daripada rakan korporat, duta diplomat, wakil anak syarikat serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pembangunan Datum Jelatek.

“Selain itu, kami turut mengambil peluang ini untuk mempromosi jenama-jenama premis dalam Pusat Beli Belah Datum Jelatek dan produk pelancongan baru negara yang akan beroperasi iaitu Malaysia Datum Cultural Centre (MDCC).

“Sumbangan duit raya dan produk korporat juga telah disumbangkan kepada para artis veteran yang hadir untuk menghargai kerjaya seni mereka selama ini,” katanya.

Pada majlis itu, tetamu hadir berpakaian seperti zaman dahulu dan disajikan dengan pelbagai menu hidangan yang sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri seperti ketupat, serunding ayam dan Rendang Perak.

“Semoga acara Nostalgia Rumah Terbuka DatumCorp ini dapat meninggalkan memori indah buat mereka yang hadir ke majlis ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette