JOHOR BAHRU – Polis memberi amaran kepada warga negara asing yang berkunjung ke negeri ini agar tidak menjadikan Johor sebagai lokasi melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hal itu ekoran penahanan sepasang kekasih warganegara Singapura yang didapati menagih dadah ketika sedang bercuti di negeri ini pada 31 Mei lalu.
Polis menerima aduan pada pukul 4.28 pagi terdapat pergaduhan sepasang kekasih sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita.
“Dalam kejadian tersebut, pasangan berusia 34 dan 29 tahun itu bertengkar sebelum teman lelakinya mengambil pisau dan menikam punggung sebelah kanan teman wanitanya.
“Siasatan dibuat mendapati kedua-duanya merupakan warga negara Singapura dan telah menyewa sebuah pangsapuri perkhidmatan di Mount Austin serta positif dadah,” katanya.
Kedua-duanya kini telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah Kamarul Zaman, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa namun mahu mereka agar mematuhi undang-undang sedia ada atau berdepan tindakan tegas.
Sementara itu, beliau turut menafikan laporan berita sebuah portal media Singapura yang menyenaraikan tujuh lokasi didakwa berbahaya di negeri itu khususnya buat warganegara berkenaan yang berkunjung ke negara ini.
“Ada media asing tidak bertanggungjawab dan menuduh Johor tidak selamat dengan menyebarkan beberapa lokasi yang didakwa berbahaya, saya menafikan tuduhan berkenaan.
“Polis Johor dengan kerjasama kerajaan negeri telah meningkatkan kemampuan dan juga penugasan polis di mana sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, seramai 1,600 pegawai dan anggota telah ditugaskan meningkatkan kawalan di 41 lokasi tumpuan umum seluruh negeri.
“Sehingga kini, polis tidak menerima walau satu pun laporan kejadian jenayah melibatkan warga negara itu, yang ada hanyalah laporan pecah rumah yang berlaku ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan,” ujarnya.
Mengikut laporan portal berkenaan, antara lokasi yang didakwa tidak selamat untuk dikunjungi warga negara itu termasuklah Larkin Sentral, Taman Pelangi, Taman Molek, Stulang Laut, Jalan Wong Ah Fook dan lebuh raya Pasir Gudang. – MalaysiaGazette