Dua mayat lelaki tidak dikenali ditemui terapung di perairan berhampiran Jeti Marina Pulau Indah, Klang semalam. - Gambar ihsan Maritim Selangor.

KUALA LUMPUR – Dua mayat lelaki yang identitinya tidak dapat dipastikan ditemui dalam keadaan terapung di perairan berhampiran Jeti Marina Pulau Indah di Klang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Maritim, V. Siva Kumar berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan penemuan mayat itu daripada komuniti nelayan lebih kurang pukul 4.26 petang.

“Bertindak atas maklumat kecemasan itu, Bot PERKASA 36 yang sedang dalam operasi diarahkan bergegas segera ke lokasi kejadian.

“Sejurus pasukan kami tiba di lokasi kejadian pukul 4.45 petang, pemerhatian lanjut mendapati terdapat dua mayat lelaki terapung.

“Kedua-dua mayat tanpa identiti itu salah satunya lengkap berpakaian manakala satu mayat lagi hanya berseluar panjang dan dianggar berusia sekitar 30-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salah satu mayat lelaki tidak berindentiti yang berpakaian lengkap terapung di perairan berhampiran Pulau Indah, Klang semalam.Ihsan maritim Selangor

Tambah Siva, dua mayat berkenaan kemudian telah dibawa naik ke darat dan dihantar ke Jeti Marina untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut dan proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan atau kehilangan ahli keluarga masing-masing boleh menghubungi segera Maritim Negeri Selangor di talian 03-21760627 untuk tindakan segera.

“Justeru, sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut boleh terus disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor atau MERS 999 yang beroperasi selama 24 jam sehari,” tegas Siva. – MalaysiaGazette