Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Hasil bedah siasat ke atas mayat wanita yang dipercayai dibunuh dan dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, di Kampung Talang Hulu di Kuala Kangsar, Selasa lepas mendapati punca kematian adalah hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bedah siasat dan pemeriksaan pergigian ke atas mayat itu dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang semalam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati sebab-sebab kematian adalah ‘blunt trauma to the head with severe burns’.

“Hasil pemeriksaan oleh Pakar Forensik Pergigian pula mendapati pergigian si mati dengan perbandingan maklumat rekod pergigiannya adalah besar kemungkinan si mati merupakan penama,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, Mior Faridalathrash dilaporkan berkat, satu mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan terbakar apabila polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan itu pada kira-kira 3.05 petang Selasa lepas.

Adik lelaki mangsa berusia 19 tahun turut membuat laporan mengenai kehilangan wanita itu dipercayai berkaitan dengan penemuan mayat terbakar berdasarkan beberapa barangan dipakai mangsa.

Pada Rabu, polis menemukan seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat wanita terbabit yang dipercayai senjata digunakan untuk mencederakan kepala mangsa. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast