adah menjual telur ayam kurang daripada berat sepatutnya, sebuah syarikat ladang ternakan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini.

MELAKA – Padah menjual telur ayam kurang daripada berat sepatutnya, sebuah syarikat ladang ternakan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu kepada wakil syarikat berkenaan, Ladang Ternakan Prudence Sdn Bhd selaku orang kena Saman (OKS) yang mengaku bersalah atas pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati telah membekalkan 50 unit LTP Corn Egg Gred B 30’S yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu berkaitan saiz telur ayam Gred B yang tidak mengikut Malaysian Standard MS680:2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Angie Wholesale Sdn Bhd, Plaza Pandan Malim, Jalan Balai Panjang, dalam daerah Melaka Tengah di sini pukul 10.48 pagi 22 Oktober 2021.

Tindakan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(b)Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(A) akta sama.

Sabit kesalahan, denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan dan tidak lebih RM500,0000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Mengikut fakta kes, kesalahan itu dikesan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka yang membuat serbuan di pasar raya terbabit setelah mengesyaki telur ayam Gred D dilabelkan dengan Gred B.

Pemeriksaan uji timbang dilakukan dan bacaan telur berkenaan adalah antara 0.50 sehingga 0.56 gram yang mana berat tersebut tidak mencukupi untuk dilabelkan dengan Gred B dengan berat sepatutnya adalah 0.60 sehingga 0.65 gram.

Siasatan lanjut mendapati, kesemua bekalan telur itu telah diperolehi daripada Ladang Ternakan Prudence Sdn. Bhd.

Terdahulu, dalam rayuannya, wakil syarikat terbabit merayu hukuman ringan dengan alasan telah mengaku kecuaian ketika proses pembungkusan dan ia pertama kali berlaku sepanjang 10 tahun beroperasi.

Pegawai Pendakwa KPDNHEP, Muhamad Ashraf Nashrudddin Ahmad Nazri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian mengarahkan syarikat ladang berkenaan didenda sebanyak RM15,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast