Seramai lima kru warga Myanmar ditahan oleh pasukan APMM pada jarak lebih kurang 0.68 batu nautika dari Muara Sungai Kuantan semalam.

KUANTAN – Sebuah bot nelayan dan lima kru Myanmar yang tidak mempunyai permit kerja ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang semalam.

Kesemua mereka dikesan pada jarak lebih kurang 0.68 batu nautika dari Muara Sungai Kuantan.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot tersebut dalam keadaan mencurigakan telah ditahan oleh pihaknya yang melakukan rondaan Op Makmur di perairan Pahang pada pukul 10.15 pagi.

“Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati semua kru termasuk tekong berumur antara 22 sehingga 27 tahun, tidak mempunyai permit kerja yang sah dan kesemuanya warganegara Myanmar mempunyai pengenalan diri yang mencurigakan.

“Kesemua mereka bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 730 kilogram ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Penerpa, Kuantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melanggar syarat sah lesen dan tidak mempunyai pas kerja yang sah.

Justeru Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen.

“Mereka harus mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan jauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah,” kata Kamal Ariffin.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette