JOHOR BAHRU – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah treler yang rosak di Kilometer 36.3 Lebuhraya Senai-Desaru, menghala ke Ulu Tiram di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.15 pagi semasa treler berkenan diparkir di tepi jalan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa treler berkenaan yang mengalami kerosakan enjin berada dalam keadaan statik di bahu jalan sejak pukul 5 petang semalam.
“Sebanyak tujuh kon beserta empat lampu amaran berkelip telah diletakkan dalam jarak lebih kurang 50 meter sebagai tanda amaran kerosakan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kemudian datang motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun dalam perjalanan dari arah bandar Johor Bahru menghala ke Ulu Tiram.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba melanggar bahagian belakang treler tersebut menyebabkannya tercampak ke tengah jalan.
Akibat pelanggaran tersebut katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Wan Siti Norlia Ahmad menerusi talian 013-6716594 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette
















