Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Kebangsaan (MFL) meluluskan pindaan perlawanan di antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Takzim (JDT) selepas kedua-dua kelab itu bersetuju mencapai kata sepakat menunda aksi tersebut kepada satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan selepas perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya menerima permohonan daripada KDA pada 12 Mei lalu bagi meminda perlawanan bertemu JDT yang sepatutnya berlangsung pada 19 Jun ini kepada satu tarikh baharu.

Menurutnya, MFL memajukan permintaan KDA kepada JDT dan menerima maklum balas positif daripada JDT yang menyokong pertukaran jadual untuk membolehkan KDA FC lebih banyak masa untuk persiapan sebelum turun bermain dalam saingan Kumpulan G Piala AFC.

“Penundaan tarikh ini diharap sekali gus membolehkan Sang Kenari menggalas cabaran selaku kelab Malaysia di peringkat Asia dan melakukan yang terbaik dalam pertandingan tersebut.

“MFL akan sentiasa memberikan bekerjasama kepada kelab-kelab iaitu JDT dan KDA termasuk Kuala Lumpur City FC yang bermain di kejohanan kompetitif Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebagai rekod, JDT akan bertemu Urawa Red Diamonds dalam aksi 16 pasukan terbaik ACL (18 Ogos 2022) sementara KDA dan KL City masing-masing bermain di Kumpulan G dan Kumpulan H bagi kempen Piala AFC.

“MFL meluluskan permohonan KDA bagi pindaan jadual perlawanan tersebut setelah mengambil kira KDA akan menyertai pertandingan Piala AFC 2022 bermula 24 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022 di Denpasar, Bali, Indonesia.

“Keputusan ini juga merupakan persetujuan bersama dengan JDT yang menyokong pindaan ini bagi memberi ruang kepada KDA untuk membuat persediaan bagi menghadapi pertandingan tersebut.

“Sudah pasti MFL sentiasa akan memberikan kerjasama kepada pasukan-pasukan yang bertanding di peringkat tertinggi seperti ACL dan Piala AFC dalam memastikan wakil kelab negara mendapat persiapan secukupnya ketika bertanding nanti,” katanya.

Namun, tarikh perlawanan yang dipindaan akan ditentukan hanya selepas keputusan peringkat kumpulan Piala AFC nanti. – MalaysiaGazette