Polis telah menerima laporan ketiga kes kanak-kanak menjadi mangsa cabul membabitkan jurulatih wushu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima laporan ketiga kes kanak-kanak menjadi mangsa cabul membabitkan jurulatih wushu.

Laporan terbaharu itu sekaligus menjadikan secara keseluruhannya tiga laporan polis membabitkan tiga mangsa berlainan yang kini sedang disiasat ke atas suspek berusia 30 tahun itu oleh Bahagian D11, ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, aduan terbaharu itu membabitkan mangsa ketiga itu diterima daripada ibu bapanya pada minggu lalu.

“Aduan ketiga ini membabitkan seorang murid perempuan sekolah rendah berusia 10 tahun yang mendakwa dia telah dicabul oleh suspek di dewan latihan wushu yang dikendalikannya di daerah Petaling.

“Kejadian cabul membabitkan murid sekolah itu dikatakan berlaku antara Februari hingga April tahun ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja

Jurulatih wushu mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak

Cabul kanak-kanak: Jurulatih wushu didakwa esok

Polis terima 4 laporan kanak-kanak dicabul jurulatih wushu

Jurulatih wushu terlibat gangguan seksual direman

Tambah Habibi, dua kertas siasatan awal ke atas jurulatih wushu itu telah dilengkapkan dan sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) pada minggu lalu.

“Kini kertas siasatan untuk laporan ketiga ini sedang berada di penghujung proses dilengkapkan dan akan diserahkan kepada DPP dalam masa terdekat minggu akan datang untuk arahan lanjut.

“Ia bagi membolehkan ketiga-tiga kertas siasatan yang lengkap itu diperhalusi serentak oleh DPP untuk tindakan secara bersama ke atas suspek nanti,” tegasnya.

Sebelum ini, pada 25 Mei lalu, Habibi mengesahkan polis menerima dua laporan polis dakwaan cabul mengaitkan jurulatih wushu berkenaan membabitkan dua mangsa kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun dalam kejadian disyaki berlaku di Cheras dan Brickfields.

Modus operandinya adalah jurulatih wushu itu didakwa memperdaya mangsa dengan mengajak mereka menaiki kereta untuk bersiar-siar dan mengambil kesempatan mencabul mangsa.

Suspek yang sama pernah ditahan atas dakwaan mencabul dua kanak-kanak semasa latihan wushu di rumahnya di negeri Selangor sebelum direman polis di daerah Kajang dan diheret Mahkamah Sesyen Putrajaya bagi menghadapi 10 pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Namun tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan mahkamah sementara menunggu sebutan semula kes itu.

Bapa mangsa berkenaan telah membuat laporan polis pada 10 Mei lalu bahawa anaknya diganggu secara seksual olehjurulatih wushu berkenaan di rumahnya antara 11 hingga 19 Februari lalu atas alasan mangsa tidak mengikuti arahan.

Bertindak atas laporan polis itu, pada 11 Mei lalu suspek telah ditahan di Taman Kajang Mewah dekat sini selepas dipercayai melakukan amang seksual ke atas mangsa berusia 13 tahun itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast