Seorang jurulatih wushu yang ditahan kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan akan didakwa di mahkamah esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih wushu yang ditahan kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Mohd Hassan berkata, suspek berusia 31 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak berusia 13 tahun yang merupakan pelatihnya.

“Lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan 10 pertuduhan atas kesalahan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa.

“Manakala satu lagi pertuduhan adalah di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas kesalahan orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih telah melakukan kesalahan seksual terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan pada 21 Mei lalu, Zaid berkata, polis menerima aduan daripada bapa mangsa yang berusia 46 tahun mendakwa anak perempuannya mengalami gangguan seksual dari jurulatih wushu itu yang dilakukan di kediaman suspek pada 11i sehingga 19 Februari lalu.

Dalam aduan itu, pengadu mendakwa anaknya telah dicabul oleh suspek atas alasan mangsa tidak mematuhi arahan  semasa sesi latihan di rumahnya dan diugut tidak menceritakan insiden itu kepada orang lain.

Katanya, suspek kemudian telah diberkas di kediamannya di Taman Kajang Mewah pada 21 Mei lalu dan direman selama tiga hari sehingga Isnin lepas untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, suspek sama turut direman oleh polis D11 Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur selepas menerima tiga lagi aduan kes cabul mangsa kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 13 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji mengesahkan maklumat itu dan kertas siasatan sudah dihantar kepada timbalan pendakwaraya hari ini untuk tindakan lanjut.

Bagi tuduhan itu, suspek dijangka akan menghadapi tuduhan di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette