Keadaan sesak di Plaza Tol Gombak Lebuhraya KL-Karak bersempena cuti sekolah selama seminggu ini. Sumber JSPT Bukit Aman

PETALING JAYA – Lebih lima juta kenderaan telah memenuhi beberapa lebuh raya utama di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ia berikutan cuti sekolah selama seminggu bermula semala, kata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman hari ini.

Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JSPT Bukit Aman Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, sekurang-kurangnya pergerakan 5.3 juta kenderaan telah direkodkan pada Jumaat lalu di beberapa lebuh raya utama negara.

“Bagaimanapun jumlah itu telah meningkat lagi kepada 5.6 juta kenderaan pada semalam (Sabtu).

“Setakat 2 petang pada Ahad (5 Jun 2022) trafik sesak dilaporkan di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan khususnya berhampiran kawasan Gua tempurung dan juga di Johor,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Pasukan trafik PDRM yang terlibat dalam rondaan di lebuh raya utama berikutan kesesakan luar biasa membabitkan lebih 5.3 juta di lebuh raya seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu lalu bersempena cuti sekolah selama seminggu. Sumber JSPT Bukit Aman

Tambah beliau, kesesakan teruk dan peningkatan jumlah kenderaan turut dikesan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

“Kesesakan trafik teruk di beberapa lebuh raya utama sejak tiga hari ini adalah disebabkan oleh faktor orang ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung bersama keluarga sempena cuti sekolah selama seminggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bakri menggesa pemandu kenderaan supaya sentiasa sabar dan memandu secara berhemah di atas jalan semasa meneruskan perjalanan masing-masing.

“Polis suka mengingatkan pengguna lebuhraya agar jangan cuba melakukan sebarang provokasi sehingga membawa risiko bahaya ke atas pengguna lain di lebuh raya khususnya ketika bersangkut dalam kesesakan trafik yang teruk.

“Kami juga mengesan bahawa aliran trafik semakin buruk dan bertambah sesak sehingga menyebabkan beberapa pemandu membawa kenderaan dengan memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan tanpa sebab.

“Pasukan trafik dari setiap kontinjen daerah dan negeri akan turun ke lapangan untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar dan pemandu sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan semasa berada di lebuh raya.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang dikesan dengan sengaja melanggar peraturan jalan raya,” tegasnya.

Dalam perkara berkaitan, beliau juga meminta kerjasama pemandu kenderaan yang memiliki kamera papan pemuka (dashcamp) untuk berkongsi rakaman pemandu yang biadab dan mengingkar peraturan di lebuh raya
di laman facebook rasmi JSPT Bukit Aman PDRM.

“Kerjasama itu membolehkan polis menjejaki dan mengambil tindakan ke atas pengguna jalanraya yang mengngkar undang-undang danm memandu kesecara merbahaya sehinggga mengundang risiko bahaya kepada pengguna lain di atas jalan kelak,” tegasnya.-MalaysiaGazette