Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun ibadah haji tertangguh akibat pandemik Covid-19, seramai 14,306 jemaah haji Malaysia dijadualkan ke Tanah Suci tahun ini.

Kumpulan 295 jemaah haji pertama Malaysia bagi musim 1443H/2022 telah pun berlepas ke tanah suci dan selamat tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz kira-kira jam 9.30 malam tadi waktu Malaysia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya mengucapkan selamat berangkat kepada semua jemaah Malaysia dan mendoakan semoga mereka memperoleh haji yang mabrur.

“Sesungguhnya menjejak kaki ke tanah suci dan menjadi tetamu Allah S.W.T untuk menunaikan ibadat haji menjadi impian setiap umat Islam.

“Maka jemaah yang menerima seruan menunaikan rukun Islam kelima itu manfaatkanlah ia sehabis baik dan jangan disia-siakan.

“Pada masa sama, saya minta jemaah haji sentiasalah menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta saling mengambil berat antara satu sama lain ketika di sana. Saya mendoakan anda semua selamat pergi dan selamat pulang. InsyaAllah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Hari ini, media melaporkan seramai 295 jemaah haji yang merupakan kumpulan pertama selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz malam tadi.

Ketibaan mereka di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick yang terletak bersebelahan pekarangan Masjid An Nabawi disambut Konsul Haji Mohammad Saimi Mat Som, Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, Farah Syafina Bahari dan Muhammad Hafiz Bahar Ketua Canseri, Konsulat Malaysia di Jeddah.

Mohammad Saimi berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) amat bersyukur atas ketibaan itu dan ia memecah kerinduan pada senario musim haji selepas dua tahun tertangguh, akibat pernularan wabak Covid-19.

“Kami mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Arab Saudi terutama penjaga dua kota suci Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohamad Salman, di atas keputusan membuka ibadat haji kepada negara luar.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Kementerian luar, Syarikat Adila dan pihak berkuasa tempatan serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, yang sentiasa membantu memudahkan apa juga peraturan-pertauran dan syarat syarat yang perlu dipatuhi dalam semua urusan jemaah haji Malaysia,” kata Mohammad Saimi. – MalaysiaGazette